|
Perjalanan ke Parapat/Danau Toba dari Medan |
Bersambung dengan perjalanan daripada Medan ke Parapat yang hanya terletak 170 km sahaja tetapi memakan masa lebih daripada 5 jam. Perjalanan sentiasa terhenti kerana jalannya agak sempit & banyak lori/motor. Hanya melalui satu jalan bertol & selebihnya jalan biasa.
Sepanjang perjalanan, cuba melelapkan mata tapi tak boleh bila melihat bagaimana rapatnya kereta-kereta selisih (duduk di depan pulak tu). Terpaksalah layan pemandangan kampung di sini. 3 jam pertama kita akan dapat menyaksikan ramai penduduk Islam dengan masjid sentiasa di temui. Di beberapa tempat saya dapat melihat sekumpulan wanita menadah jaring (macam tangkap rama-rama/ikan tu) di tepi jalan dan pemandu melontar wang ke dalam jaring tersebut. Wah.. rupa-rupanya wang tersebut untuk membina masjid pasai saya dapat melihat dibelakang mereka terdapat masjid yang masih dalam pembinaan. Mengikut Kadri, pemerintah tidak memberikan wang untuk membina masjid jadi orang kampung sendiri terpaksa mencari dana. Berbeza dengan kita, masjid kita begitu besar & indah dengan aircond lagi hasil peruntukan kerajaan mealui ICU. Beruntungnya kita..
|
Kedai menjual pelbagai dodol - Paten |
Walaupun dikatakan kita ni serumpun dengan bertutur dalam bahasa yang sama, setengah papan tanda atau iklan sepanjang jalan agak melucukan. Yang paling saya tak tahan membaca papan tanda di depan sebuah rumah berbunyi "Awas! Anjing GALAK di dalam". Bayangkan anjing GALAK ada di dalam rumah tu bukannya anjing garang. Kami singgah ke sebuah kedai bernama Paten yang menjual perbagai jenis dodol buatan tempatan. Hanya membeli kacang buat bekalan pasai harga dodol tu boleh tahan.
|
Danau Toba--seindah namanya |
Diakhir 2 jam perjalanan, masjid makin kurang kelihatan. Semakin banyak gereja di sepanjang jalan & mengikut Kadri, kami sedang menghampiri kawasan yang majoriti penduduknya berbangsa Batak & berugama Kristian. Setelah hampir 5 jam perjalanan, akhirnya terbentanglah Danau Toba di depan mata. Sungguh indah ciptaan Tuhan! Begitu luas Danau Toba ni & dikhabarkan sebesar Singapura. Terpaksa menahan diri menikmati keindahan Danau Toba kerana Kadri bagitau yang kami akan ke sana pada pagi besok.
|
Hotel Danau Toba International Cottage..mengadap tasek |
Oleh kerana hari semakin gelap, kami terus check-in Hotel Danau Toba International Cottage yang terletak di atas bukit. Bilik kami betul-betul mengadap tasek & terasa dingin hembusan bayu dari tasek. Biliknya sederhana sahaja tetapi lokasinya amat baik. Biliknya besar, cuma kemudahannya agak kurang & terletak jauh dari reception. Telefon tidak berfungsi, katanya dipanah petir sehari sebelum tu. Nak tanya apa, kena panjat bukit nak ke reception, penat tu..
|
Restoran Istana Minang II di Parapat |
|
Di puncak tu terletak hotel kami |
No comments:
Post a Comment