Friday, September 14, 2012

Danau Toba & Pulau Somasir


Bot menyeberangi Danau Toba ke Pulau Somasir

Selepas breakfast di hotel, kami berangkat ke jetty untuk Pulau Somasir.  Pulau Somasir ni terletak di tengah-tengah Danau Toba & di diami oleh orang Batak.  Perjalanan menaikki bot yg sedia menanti (Kadri dah bayar tambang) & bersama kami tedapat 2 kumpulan dari Malaysia yang sama-sama hendak ke sana.  Bila di Medan, kami sering bertembung dengan kumpulan yang sama samada di airport atau di kedai makan.  Bila jumpa, saja sembang-sembang mengenai lawatan.  Kebanyakannya datang dengan supir yang telah ditempah, macam saya. 
  
Pulau Somasir..perkampungan orang Batak
Pulau Somasir memang dapat di lihat tapi perjalanan mengambil masa 45 minit kerana bot berlayar perlahan.  Dalam perjalanan, kami dihiburkan dengan lagu-lagu dangdut daripada speaker bot sambil menikmati tiupan angin.  Ombak kecil tasek kadang-kadang menghempas badan bot & membuat terumbang-ambing.  Bagi yang pentingkan keselamatan, jangan harap anda akan dibekalkan dengan life jacket.  Bagi saya walaupun taseknya luas tapi perjalanan amat sempurna kerana air tasek agak tenang.
Dah sampai ke Jetty Tomok, Pulau Somasir
Bot akan mendarat di jetty pertama tapi kami akan turun di jetty kedua; Tomok.  Terdapat begitu banyak gerai-gerai menjual kain baju, cenderahati dll disepanjang jalan. Kalau di Penang, macam jual murah di Chowrasta.  Kalau nak membeli cenderahati, saya rasa di sini lebih murah tapi kita kena pandai tawar menawar.  Saya membeli key-chains & magnetic fridge sebagai cenderahati untuk kawan-kawan di Malaysia.  Saya ada terbaca di dalam blog mengatakan disini kita sering di ganggu dengan kanak-kanak yang memaksa kita membeli tetapi sepanjang saya di sini, saya tidak melihat pun kanak-kanak tersebut.

Yang tinggi di belakang tulah siGale-Gale..patung menari
Kami singgah untuk melihat pertunjukkan Patung Si Gale-Gale yang dikatakan boleh menari dengan sendirinya.  Setiap orang yang ingin menari atau bergambar dengan Si Gale-Gale ini akan dikenakan sedikit bayaran.  Mengikut kepercayaan orang Batak, dulu memang patung ni akan menari dengan sendirinya tapi sekarang saya melihat ada orang dibelakang patung ni yang menggerakkan patung ini untuk menari.

Muzium Batak
Mendaki lagi kita akan berjumpa dengan kubur Raja Batak.  Oleh kerana kurang selesa dengan kubur, kami tidak masuk pun untuk melihat kubur tersebut.  Diakhir bukit ni, kita akan berjumpa dengan sebuah Muzium Batak & di dalamnya terdapat pameran barangan orang-orang batak.

Selepas hampir satu jam berjalan-jalan di kawasan ini, kami pun beredar & menaiki bot balik ke Parapat.  Disini barangan cenderahati agak murah berbanding tempat lain. 

Selepas makan, kami bertolak ke Brastagi & khabarnya mengambil masa hampir 5 jam juga.  Saya akan sambung dalam entri berikutnya; dari Parapat ke Brastagi.  Sementara itu, layanlah gambar-gambar di bawah ni..

Danau Toba terbentuk dari letusan gunung berapi..masih ada kesan

Pemandangan di Pulau Somasir

Caj untuk menari dengan si Gale-Gale
Suasana di kedai jualan Pulau Somasir

Rumah orang Batak


Kubur Orang Batak

Melawat Danau Toba adalah yang paling best!

Suasana di tasek asli, Danau Toba


Thursday, September 13, 2012

Dari Medan Ke Parapat/Danau Toba

Perjalanan ke Parapat/Danau Toba dari Medan
Bersambung dengan perjalanan daripada Medan ke Parapat yang hanya terletak 170 km sahaja tetapi memakan masa lebih daripada 5 jam.  Perjalanan sentiasa terhenti kerana jalannya agak sempit & banyak lori/motor.  Hanya melalui satu jalan bertol & selebihnya jalan biasa.

Sepanjang perjalanan, cuba melelapkan mata tapi tak boleh bila melihat bagaimana rapatnya kereta-kereta selisih (duduk di depan pulak tu). Terpaksalah layan pemandangan kampung di sini.  3 jam pertama kita akan dapat menyaksikan ramai penduduk Islam dengan masjid sentiasa di temui.  Di beberapa tempat saya dapat melihat sekumpulan wanita menadah jaring (macam tangkap rama-rama/ikan tu) di tepi jalan dan pemandu melontar wang ke dalam jaring tersebut.  Wah.. rupa-rupanya wang tersebut untuk membina masjid pasai saya dapat melihat dibelakang mereka terdapat masjid yang masih dalam pembinaan.  Mengikut Kadri, pemerintah tidak memberikan wang untuk membina masjid jadi orang kampung sendiri terpaksa mencari dana.  Berbeza dengan kita, masjid kita begitu besar & indah dengan aircond lagi hasil peruntukan kerajaan mealui ICU.  Beruntungnya kita..
 
Kedai menjual pelbagai dodol - Paten
Walaupun dikatakan kita ni serumpun dengan bertutur dalam bahasa yang sama, setengah papan tanda atau iklan sepanjang jalan agak melucukan.  Yang paling saya tak tahan membaca papan tanda di depan sebuah rumah berbunyi "Awas! Anjing GALAK di dalam".  Bayangkan anjing GALAK ada di dalam rumah tu bukannya anjing garang.  Kami singgah ke sebuah kedai bernama Paten yang menjual perbagai jenis dodol buatan tempatan.  Hanya membeli kacang buat bekalan pasai harga dodol tu boleh tahan.
Danau Toba--seindah namanya
Diakhir 2 jam perjalanan, masjid makin kurang kelihatan.  Semakin banyak gereja di sepanjang jalan & mengikut Kadri, kami sedang menghampiri kawasan yang majoriti penduduknya berbangsa Batak & berugama Kristian.  Setelah hampir 5 jam perjalanan, akhirnya terbentanglah Danau Toba di depan mata.  Sungguh indah ciptaan Tuhan!  Begitu luas Danau Toba ni & dikhabarkan sebesar Singapura.  Terpaksa menahan diri menikmati keindahan Danau Toba kerana Kadri bagitau yang kami akan ke sana pada pagi besok.
Hotel Danau Toba International Cottage..mengadap tasek
Oleh kerana hari semakin gelap, kami terus check-in Hotel Danau Toba International Cottage yang terletak di atas bukit.  Bilik kami betul-betul mengadap tasek & terasa dingin hembusan bayu dari tasek.  Biliknya sederhana sahaja tetapi lokasinya amat baik.  Biliknya besar, cuma kemudahannya agak kurang & terletak jauh dari reception.  Telefon tidak berfungsi, katanya dipanah petir sehari sebelum tu.  Nak tanya apa, kena panjat bukit nak ke reception, penat tu..
Restoran Istana Minang II di Parapat
Selepas magrib, kami dijemput oleh Kadri untuk makan malam di sebuah restoran di dalam pekan.  Restoran Istana Minang II yang terletak dalam pekan menyediakan masakan padang.  Oleh kerana dah biasa dengan menu padang, kami bedal saja.  Bila makan dengan supir ni janganlah bimbang pasai pihak restoran akan menyediakan menu lain untuk semua supir.  Walaupun di ajak beberapa kali, Kadri keberatan nak joint kami makan sekali, dia akan joint geng-geng supir.  Menu kami dengan supir nampaknya berbeza sikit tapi Kadri tak penah komplen. 

Di hotel, semua soket 2 kepala macam ni utk. cas HP
Balik makan, kami hanya dok di hotel sambil layan filem Indonesia. Untuk mengecas handphone, di Medan ni hotelnya menggunakan soket 2 kepala & kita perlu beli adaptor dengan harga RM10 di kedai elektrik. Di luar kedengaran alunan ombak Danau Toba yang mengasyikkan.  Sungguh damai & tenang di sini.    Ini lah tempat yang paling best dikunjungi setelah 2 hari berada di Indonesia.

Besok pagi-pagi selepas breakfast di hotel, Kadri akan bawa kami ke Pulau Samosir melintasi Danau Toba.  Tak sabar rasanya..


Danau Toba di waktu senja

Ketenangan air di Danau Toba
       
Hotel betul-betul mengadap Danau Toba
Di puncak tu terletak hotel kami

Monday, September 10, 2012

Dari Bayan Lepas Ke Medan

AirAsia kami selamat mendarat di Medan
Setelah berbulan-bulan membuat persediaan, akhirnya pada 2 Jun 2012 berangkatlah kami sekeluarga ke Medan.  Penerbangan melalui Bayan Lepas terus ke Medan dengan Air Asia Indonesia berlepas tepat jam 11.05 pagi dan selamat mendarat di Polonia Airport pada jam 10.55 waktu Medan.  Jangan terkejut dengan waktu yang diundur ke belakang kerana Medan lewat 1 jam daripada Malaysia. 

Penerbangan hanya mengambil masa 1/2 jam (lebih singkat drp. Bayan lepas ke KLIA) dengan tambang untuk 5 dewasa ialah RM1,250 (all-in) pergi dan balik.  Lapangan Terbang Polonia lebih kecil daripada Bayan Lepas (kurang daripada Alor Setar atau Senai).  Layanan oleh Imigresen Medan amatlah kurang dengan wajah yang kurang ceria dan masam.

Airport Polonia..kecik saja
Semasa di atas kapalterbang, semua penumpang daripada Malaysia telah diberi satu borang untuk di isi terlebih dahulu.

Rata-rata yang mendarat dengan penerbangan Air Asia dan sebuah lagi Fire Fly adalah orang Malaysia yang turut sama ingin makan angin di Medan ini.  Rasa macam berada di tanah air lah pulak, semuanya rakyat Malaysia.  Setelah selesai proses imigresen, berjalanlah keluar mencari supir yang telah ditempah awal lagi.

Terbang dgn Airbus..hanya 1/2 jam ke Medan
Di Medan ni terutamanya di airport, janganlah terperanjat kalau semua orang akan cuba menolong kita.  Ini bukan pertolongan percuma kerana di sini semuanya berbayar.  Mungkin bagi orang Medan, kita ni orang yang berada saja tetapi hakikatnya kita pun sama "sengkek" dengan mereka.  Rupanya supir telah sedia menunggu dengan memegang nama saya, senang jumpa.  Supir bernama Kadri, orangnya masih muda & berasal dari Acheh tapi telah lama merantau di Medan. 

Supir ku Kadri sedang mencuci Inova nya..jaga betoi!
Kadri ni mempunyai seorang baby dan ahli keluarganya juga menetap di Medan.  Sentiasa senyum dan percakapannya lembut dan sopan.  Dia mempunyai sebuah Toyota Kijang (Inova) yang dibeli secara lelong.  Keretanya masih cantik dan terjaga.  Keluar dari lapangan terbang ternampak stesen minyak Petronas, rasa bangga juga produk Malaysia ada di Medan.  Sepanjang jalan ke bandar, selisih juga dengan Proton Exora, MyV dan yang paling banyak adalah Toyota Inova & Avanza.
Istana Maimon..Sultan yg tiada kuasa
Setelah dibawa makan oleh Kadri di restoran Minang, kami dibawa melawat Istana Maimon yang terletak dalam kawasan bandar.  Melangkah masuk, kita akan diberi taklimat oleh seseorang yang akan mengiring kita sambil bercerita tentang kesultanan ini. 

Khabarnya sultan ini masih wujud, cuma tiada kuasa lagi.  Istana ni agak lama & tidak terjaga dengan baik kerana tiada peruntukan drp. pemerintah, hanya sumbangan dari orang ramai. 

Singgahsana Sultan..agak terbiar
Sebelum saya melangkah keluar, saya memberi sedikit saguhati pada orang yang mengiring tadi dan kepada pihak istana.  Disini kita hanya boleh melihat sedikit sejarah lama mengenai kesultanan selain bergambar sebagai kenangan.  Terdapat kedai kecil menjual cenderamata tapi saya sarankan tak perlu beli di sini. 

Di kawasan meletak bas, terdapat gerai menjual T-shirt Medan & lain cenderahati & harganya boleh ditawar.


Gudang/Kilang menjual kain & telekung
Selepas tu, kami dibawa ke kilang telekung Hajah Mariani yg juga terletak dalam bandar Medan.  Kadri cakap kalau nak beli telekung atau kain batik/pelikat beli disini kerana harganya lebih murah.
Memang betul harganya lebih murah drp. di Penang & yang bestnya boleh swipe Credit Card.  Daripada nak beli RM100 akhirnya kerana ada kemudahan kad kredit, melayang RM300.  Kami membeli 4 pasang telekung, 10 kain pelikat (RM10 sehelai) & beberapa helai kain batik sebagai ole-ole dari Medan.

Kesesakan semasa keluar dari Medan
Setelah keluar dari kilang, kami disapa penjual barangan kulit di kaki lima.  Yang membuat kami terhenti pasai loghatnya bertutur sebijik loghat Penang.  Bayangkan orang tu bercakap Indonesia tapi loghat Penang..lawak betoi.  Rupanya dia pernah merantau di Penang selama 3 tahun.  Pasai dia pandai cakap Penang, saya "terpaksa" beli belt untuk anak berharga RM35.  Sesuatu yang menarik di Medan ini, penjual di kaki lima atau di depan restauran adalah perkara biasa selagi mereka tidak memasuki kedai atau restoran.

Setelah penat di Medan, dalam pukul 2 petang waktu Medan kami semua bertolak ke Parapat/Danau Toba & Kadri bagitahu perjalanannya memakan masa 5 jam walaupun jaraknya hanya 100km!!

Perjalanan keluar begitu menyiksa kerana terperangkap dengan "jammed" & bunyi hon sentiasa terdengar.  Di Medan, pemandu akan membunyikan hon sebagai tanda meminta laluan.  Yang besar akan menghormati yang yang kecil seperti motor & sepanjang di Medan saya tak pernah terserempak dengan kemalangan walaupun kereta sering himpit menghimpit  Saya akan bersambung ke entri berikutnya; dari Medan ke Parapat/Danau Toba.

Menu di Restauran Family Nasi Padang..boleh tahan
Gambar Sultan dahulu di Istana Maimon