Friday, October 19, 2012

Lawatan Singkat ke Langkawi


Fave Hotel..baru dibuka
Saya kerap ke Langkawi, boleh dikatakan setiap tahun tapi selalunya atas dasar kerja.  Tapi jarang dapat berjalan-jalan meninjau keindahan Langkawi kerana kesuntukan masa.  Langkawi ni duty free, selain terkenal dengan  sejarah Mahsuri tapi hanya beberapa barang saja yang murah dibanding di tempat kita. 
Barangan seperti pinggan mangkuk, coklat, rokok, minuman keras dan kereta saja yang ketara perbezaan harga.  Kalau pinggan mangkuk yang di tempat kita hanya mampu tengok saja tapi di sini kita boleh beli dengan harga agak murah.  Anda boleh ke Ismail & Sons atau Idamansuri sekiranya ingin membeli pinggan mangkuk tersebut.

                                 Bilik Fave Hotel ni agak kecil..
Kali ini saya menginap di Fave Hotel yang terletak di Pantai Cenang bersebelahan Asenia Resort.  Hotel ni baru saja dibuka tapi tidak mengadap lautan dan keadaan dalaman masih cantik dan kemas.  Cuma bilik hotel ni agak kecil dan sempit.  Bilik saya mengadap bukit, cantik juga terutamanya waktu pagi. 

Kalau menginap di sini, kena ada transport sendiri kerana ianya jauh dari pusat bandar Kuah.  Kalau nak turun town, kena naik teksi atau sewa motor.  Dengan harga hampir RM200 semalam, anda buat pilihan sendiri samada berbaloi atau tidak. 

Kereta Kuda pun Tun terima sebagai hadiah..
Selepas semuanya settle, destinasi pertama adalah ke Galeri Perdana yang menyimpan segala macam hadiah yang diterima oleh Tun Mahathir sepanjang memerintah.  Ini bukan kali pertama saya menjejak kaki ke sini, mungkin sudah kali ke 4 atau 5 tapi masih tak jemu melihat barangan yang begitu banyak dipamer.  Dulu masa saya masuk, kamera tidak dibenarkan tapi sekarang kamera dibenarkan masuk.  Kalau nak belek setiap barangan disini, saya rasa 2 jam pun belum cukup!  Bermacam hadiah yang diterima Tun daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya macam kereta, motor dan kereta kuda.  Hadiah dari hampir setiap negara dalam dunia ini yang diterima oleh Tun.


Makam Mahsuri
Destinasi berikutnya adalah Makam Mahsuri yg begitu lama saya tidak lawati. Ternyata kemudahan di sini lebih baik dengan kemudahan dan landskap yang cantik dan terjaga.  Mungkin tidak perlu diceritakan lagi tentang lagenda Mahsuri ni tapi bagi yang kurang arif anda akan diberi penerangan dengan secukupnya.  Terdapat rumah contoh seperti rumah Mahsuri dan perigi yang kononnya digunakan oleh Mahsuri.




Restoran Siti Fatimah..di hadapan Hotel Tok Senik
Selepas meneroka Makam Mahsuri, perut terasa lapar & kami singgah di Restoran Siti Fatimah yang terletak di hadapan Hotel Tok Senik.  Restoran ni antara yang terkenal dan menjadi pilihan bas persiaran  yang membawa pelancong.

Pilihan juadahnya begitu banyak hingga susah nak buat pilihan.  Sedap jugak masakan di sini & kalau kita ada rezeki, restoran akan menyediakan makanan orang kampung Langkawi yang tidak terdapat di tempat kita.  
Telaga Air Hangat..dah tak panas sangat
Dah kenyang, kami beredar ke Telaga Air Hangat.  Dulu masuk sini kena bayar dan kita akan dihidangkan dengan tarian kebudayaan tapi sekarang tiada lagi (mungkin off-peak).

Air hangat di sini rasanya dah tak hangat seperti dulu, dah agak suam.  Kalau dibandingkan dengan air hangat di Tambun Ipoh, saya rasa di sana dua kali lebih hangat.
Pasir Hitam..pasir di pantainya memang hitam
Kami singgah ke Pasir Hitam dimana pasir di pantai ini memang hitam.  Juga terdapat kedai-kedai menjual cenderahati dan t-shirt Langkawi.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan ole-ole boleh beli di sini kerana harganya agak murah dan boleh tawar-menawar lagi.  Pelbagai key-chains di jual di sini & terdapat juga key-chain dimana dimasukkan pasir hitam ke dalam botol kecil dan dibuat key-chains.


Terdapat muzium di Pusat Kraftangan..Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan
Tidak jauh dari Pasir Hitam terdapat Pusat Kraftangan Langkawi dimana terdapat pelbagai barangan yang dipamerkan untuk tontonan dan jualan.  Ramai tidak tahu yang disebelah kanan & kiri pusat ni terdapat 2 muzium.  Muzium Warisan yang mempamerkan barangan lama dan Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan yang mempamerkan pelbagai jenis perkahwinan di Malaysia ni.
Muzium Warisan

Jalur Gemilang yg digunakan oleh Dato Azhar mengelilingi dunia

Destinasi seterusnya adalah Telaga Harbour, Pantai Kok yang merupakan antara kawasan baru yang menjadi tarikan bila ke Langkawi.  Kalau sesiapa ada menonton filem My Spy lakonan AC Mizal, ianya di buat di sini. 

Di sini terdapat banyak kapal layar yang berharga ratusan malah jutaan ringgit yang menjadikan Telaga Harbour,  sebagai tempat untuk berlabuh.  Yang paling istimewa adalah kapal layar yang digunakan oleh Dato Azhar untuk mengelilingi dunia diletakkan di sini.  Bayangkanlah kapal yang begitu kecil dijadikan tempat berteduh hampir setahun meredah lautan ganas. 

The Loaf..dikatakan kepunyaan Tun Mahathir
Saya dipahamkan Tun Mahathir juga mempunyai kapal layar bernama "Apa Nama" yang berlabuh di sini tapi tak nampak pun.

Setelah penat meninjau kawasan Telaga Harbour, singgah di sebuah restoran yang menyajikan roti & muffin; The Loaf.  Khabarnya The Loaf ni kepunyaan Tun Mahathir & opis Tun terletak di tingkat satu restoran ni.
Ramai pelancong yang singgah disini termasuk pelancong asing.  Harga makanan di sini kira ok jugak kalau nak ikut status restoran ni. 


Sebenarnya di Langkawi ni terdapat banyak tempat menarik yang perlu di lawati selain menjadi tarikan pusat membeli-belah barangan duty free.  Bagi yang belum pernah sampai ke sini, tak rugi rasanya kalau kita spend beberapa hari meneroka pulau indah ini.  Berbanding Penang, pantai di sini lebih cantik dan asli.  Layanlah gambar-gambar di bawah semasa di Pulau Lagenda ini.


Suasana ni kaki Gunung Mat Chincang.. Cable Car naik di sini

Antara kereta yang terdapat di Galeri Perdana..koleksi Tun

Org Langkawi bagitau yg 2 batu ni yg terletak sebelah kubur merupakan
kubur sebenar Mahsuri...untuk elak pemujaan
Refleksologi kaki di Telaga Air Hangat

Pakaian pengantin dipamerkan di Muzium Adat & Perkahwinan

Pemandangan di Telaga Harbour

Suasana dalam di The Loaf..sedap!

Singgah pekena laksa & ayaq nyok di tepi pantai airport, Pdg Mat Sirat

Friday, October 12, 2012

Bertugas Ke Kota Bharu


Pemandangan indah di banjaran 
Dah agak lama tidak ke Kelantan, rasanya dah dekat 6 tahun tidak menjejek kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang.  Atas alasan bekerja, saya telah berkunjung ke Kota Bharu untuk 2H1M pada 19hb. September 2012 yang lalu.
8.00am (0 km) - Bertolak dengan kereta dari Kepala Batas Seberang Prai dengan memandu sendirian.  Singgah di Petronas Butterworth Kulim Expressway (BKE) berdekatan Kulim H-Tech untuk mengisi minyak dan pam tayar.  Terus memecut menggunakan highway menuju ke Baling dan perjalanan amatlah selesa dengan jalan yang sempurna dan tidak banyak kenderaan.

Lebuhraya Timur-Barat
9.30am (87 km) - Berhenti rehat di R&R Bintang Hijau, Sungai Rui seketika.  Bagi mereka yang menggunakan highway timur-barat ni, terdapat banyak hentian R&R disepanjang highway ini.  Walaupun R&R ni tidak setanding dengan R&R yang terdapat di Lebuhraya Utara-Selatan tapi segala kemudahan asas disediakan. 

9.50am (113 km) - Sampai di persimpangan menuju ke Grik dan Pengkalan Hulu.  Bila menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan ni, kita tidak akan memasuki bandar Baling, Grik atau Pengkalan Hulu hanya melalui di persisir bandar saja.


Nyaman & indah di R&R Tiriwangsa
10.20am - Melintasi Tasek Banding & keindahan Banjaran Titiwangsa semakin memikat hati.  Terdapat restoran dan resthouse bagi mereka yang ingin menginap disini dan menikmati keindahan alam semulajadi.

10.50am - Berhenti rehat sekita di R&R Titiwangsa.  Pemandangan daripada kawasan R&R ni amatlah indah dengan suasana dingin & berkabus.  Setelah membuang apa yang patut, perjalanan diteruskan dengan lebih banyak mendaki.


11.30am (237 km) - Akhirnya meninggalkan negeri Perak dan memasuki negeri Kelantan dengan melalui bandar Jeli.  Bendera parti politik melambai-lambai di sepanjang jalan di Jeli ni.  Terdapat sebuah universiti di Jeli ni iaitu Universiti Malaysia Kelantan.

Bandar KB dari hotel
1.30pm (330 km).- Setelah hampir 6 jam perjalanan, akhirnya tiba di bandar Kota Bharu (KB).  Kalau tak berhenti beberapa kali kerana menjawab panggilan daripada pejabat & pelanggan, mungkin dalam 5 jam dah boleh sampai KB.  Sekali pandang, banyak jugak perubahan di KB terutamanya terdapat beberapa flyover yang hampir siap walaupun dari segi bangunan tidak banyak berubah.




Tune Hotel, belakang KB Mall
Terus ke USM Kubang Krian atas urusan kerja dan disepanjang jalan menuju ke sana terdapat banyak bangunan baru yang telah siap.  Di sebelah petang apabila habis bertugas di USM, hujan turun dengan lebatnya di KB ni. 

Jalanraya menuju KB menjadi sesak dan diburukkan lagi dengan pembinaan flyover yang belum siap.  Oleh kerana syarikat tidak sempat booking hotel, terpaksalah memilih Tune Hotel KB yang telah ditempah semalam melalui on-line.

Tilam di Tune Hotel memang terbaik
Tune Hotel KB terletak betul-betul di belakang KB Mall.  Saya menempah bilik double bed dengan entertainment (TV) & wi-fi pack (walaupun tak guna; ada broadband) tanpa aircond dengan harga hampir RM60.  Dengan harga tersebut tiada komplen kerana saya tahu katil Tune Hotel memang selesa.  Tuala dan keperluan mandi telah siap dibawa dari rumah, jika tidak kena sewa RM6 untuk tuala & keperluan mandi.  Cuma di Tune Hotel KB ni, parking kena bayar RM3 sehari jika kita ingin parkir di kawasan private atau parkir di depan hotel dengan menggunakan meter majlis perbandaran. 

Tune Hotel, ruang menunggu
Dinasihatkan supaya sentiasa mengisi syiling dalam meter ni pasai di KB ni, penguatkuasanya amat efisien.  Bayangkan saya telah dikompaun 2 kali dalam setengah hari kerana letak kenderaan melebihi waktu bila tak sempat tambah syiling.  Nasib baik kompaunnya hanya RM10 sekiranya dibayar dalam masa 14 hari.

Keesokannya sebelum balik, pusing-pusing bandar KB & singgah di pasar Siti Khatijah.  Banyak gerai makanan basah, kering dan kain baju yang dijual disini.  Khabarnya songket, batik dan pakain wanita murah harganya disini tapi kerana tak pandai membeli, saya tak beli apa pun.

Bukit Bunga..gerai jual macam-macam
Tepat jam 3 petang saya telah memilih jalan lain untuk balik ke Jeli, saya memilih jalan ke Rantau Panjang.  Daripada KB, Rantau Panjang hanya dalam 50km sahaja dan melalui Pasir Mas (teringat Dato' Ibrahim Ali; orang kuat PERKASA) dan terus ke Rantau Panjang & Golok.  Melalui jalan ni lebih tenang kerana ianya jalan kampung.  Kerana masa tak mengizinkan, saya hanya melaui pekan Rantau Panjang.  Rantau Panjang ni macam Padang Besar di Perlis, banyak menjual pakaian, alatan memasak dan barang keperluan.



Pulau Banding
Dari Rantau Panjang, terus menuju ke Jeli & sampai di Bukit Bunga, singgah ke gerai-gerai jualan disepanjang jalan yang menjual pelbagai barangan.  Jam dah hampir pukul 4.15 petang & saya hanya membeli keropok lekor basah (RM5) dan keropok kering.  Selepas itu, terus memecut ke Jeli menuju ke Grik & berhenti di Banding.  Pemandangan disini amat cantik dan tenang.  Setelah hampir setengah jam disini, terus memecut mendaki Banjaran Titiwangsa dalam cuaca hujan renyai-renyai.  Sampai di R&R Lebey dalam 6.30 petang, berhenti sekejap untuk sembahyang & melepaskan niat & selepas itu terus mendaki banjaran dalam cuaca hujan & senja kian menjelma.

Suasana dingin sepanjang jalan
Pemandangan sepanjang jalan yang dingin & berkabus dan kian gelap amatlah mempesonakan, terasa diri terasing jauh di atas banjaran.  Sekali-sekali terpaksa mengikut bontot lori yang membawa minyak & kayu balak sebelum boleh memotong di jalan berkembar.

Setelah hampir 5 jam memandu, akhirnya sampai di Lebuhraya BKE dan hanya singgah sekejap di caltex Kulim untuk menunaikan tanggungjawab sebelum memecut terus ke rumah.


Walaupun perjalanan kali ni singkat tapi telah memberi satu pengalaman baru apabila memandu sendirian ke KB melalui Lebuhraya Timur-Barat.  Kalau ada masa, ingin ke Rantau Panjang/Golok lagi untuk melihat apa yang istimewa di sana.

Membelah banjaran di waktu senja
Tasek di Banding

Melalui 2 jambatan di Banding

Thursday, October 11, 2012

Hari Terakhir di Medan



Bandar Medan..yang nampak tu lah Hotel Madani
Setelah beberapa jam berada dalam Inova, akhirnya sampai kami di Medan.  Kadri telah arrange Hotel Madani yang terletak dipersimpangan jalan antara Masjid Raya & Pasaraya Yuki.  Hotelnya boleh tahan & lokasinya agak baik. Ramai rakyat Malaysia yang prefer hotel ni. 

Kadarnya sewa pun ok cuma tiada pool.  Biliknya lebih kecil daripada hotel di Parapat.

Bilik Hotel Madani
Habis check-in, kami pun dibawa makan tengahari di restoran yang menyediakan menu ayam pop.  Kira ok jugaklah pasai perut dah lapar.

Restoran yg menyediakan menu ayam pop..
Habis makan kami dibawa ke Fashion Outlet terletak di Candi Mendut yang menjual barangan berjenama tapi yang direject.  Harganya ok jugak cuma tak banyak pilihan.

Fashion Outlet..menjual pakaian branded pada harga rendah
Lepas tu kami jalan-jalan di Medan Mall sebelum ke Pasar Ikan.  Pasar Ikan ni bukan menjual ikan tapi menjual pelbagai kain, baju dan tudung.  Harganya lebih murah daripada di negara kita.

Medan Mall..macam mall kita jugak..biasa saja

Suasana di Pasar Ikan..jgn nak cari ikan di sini noo..
Habis di Pasar Ikan, kami singgah di Masjid Raya & Pasaraya Yuki yang terletak bertentangan dengan hotel kami.  Masjid Raya Al-Mashun dibina dalam tahun 1906 & masih cantik dan teguh.  Sebelum naik masjid, hulur-hulurlah sedikit sumbangan.
Masjid Raya Al-Mashun dibina 1906..masih teguh

Terletak bertentangan dgn Masjid Raya ialah Pasaraya Yuki
Disebelah malamnya, supir kami Si Kadri membawa kami ke sebuah restoran bernama Lubok Idai.  Begitu ramai orang Malaysia yang makan di sini & kebanyakan datang melalui rombongan atau group
Makan malam disini ..ikan bakar..sedap!
Akhirnya setelah 4H3M berada di Medan, kami pun dihantar ke Airport untuk pulang ke Penang pada keesokan harinya.  Sebagai menghargai supir saya; Kadri saya beri dia sedikit duit (tips) untuk anaknya sebelum berpisah. Semasa sedang melalui imigresen, tiba-tiba kami dilayan begitu baik oleh pihak Imigresen Indonesia.  Senyuman manis dengan ramah bertanya kepada saya tentang lawatan ke Medan (tak macam semasa sampai) sampai saya ingat pegawai Imigresen tu mungkin kawan saya semasa sama-sama belajar di UUM dulu..tetapi tak dak kawan pun dari Indonesia yang jadi pegawai Imigresen seingat saya.  

Akhirnya terjawab apabila saya sedang ambik beg saya, pegawai Imigresen berbisik "duit kopi pak"..Rupanya semua senyuman tadi hanya untuk dapatkan duit kopi.  Saya terus ambik beg dan beredar dari situ.
Kalau ditanya macam mana dengan lawatan ke Medan ni? Saya rasa tak rugi datang sekali seumur hidup..Danau Toba & Air Terjun Si Piso-Piso mesti dilawati apabila datang ke sini.  Sepanjang berada di sini, saya tidak sangat diganggu oleh peniaga-peniaga atau kanak-kanak yang memaksa kita membeli, mungkin supir saya bawa saya ke tempat yang ok. 
Selamat bercuti untuk yang bercadang hendak melancong & semoga selamat dalam perjalanan!
Kos:
  • Air Asia Bayan Lepas ke Medan - RM1,250 all-in (5 dewasa pergi & balik/booking sebulan)
  • Supir - RM2,500; termasuk pemandu, kereta (Inova), hotel 2 bilik, makan tengahari & malam untuk 5 orang (2 dewasa & 3 remaja) & parking/tambang feri.
  • Duit Poket/Shopping - RM2,000 dgn tukaran rupiah 0.000338 (kain baju & cenderahati dll.)
  • Hotel bermalam - Danau Toba International Cottage Hotel (Parapat), Green Garden Hotel (Brastagi) & Hotel Madani (Medan).
Tips:
  1. Bawalah adapter 2 kepala bulat untuk caj HP kerana di sini hotel guna soket 2 kepala bulat.
  2. Disini semuanya duit, berhati-hati dengan orang yg menawarkan pertolongan..bukan free!
  3. Kerana matawangnya kecik, jadi kita akan guna banyak wang kertas, download lah currency converter dalam HP anda.  Selalu sediakan wang kecil.
  4. Kalau datang berkeluarga, lebih baik gunakan perkhidmatan supir untuk jimatkan masa dan wang.
  5. 4H3M cukup untuk round-round Medan, Parapat & Brastagi.  Sebaiknya selepas sampai, terus ke Parapat & last day baru round Medan.
  6. Sebelum ke sana, dapatkan sedikit idea/maklumat dengan membaca blog-blog pelancongan kerana kadang-kadang supir ni dia akan tanya ke mana kita hendak pergi.
Untuk yang berminat mendapatkan supir Kadri, boleh hubungi terus beliau di nombor HP +6281370622206 atau +6285761341477.  Kalau tanya pendapat saya, saya puas hati dengan perkhidmatan yang dia berikan, orangnya lembut pertuturannya dan sentiasa tersenyum. 

Pada jam 8.15pm; 5 Jun 2012 kami sekeluarga selamat mendarat di Bayan Lepas Airport.  Sebelum berpisah, layanlah gambar-gambar ini..
Suasana jalanraya di Medan..hon sentiasa berbunyi!


Masjid Raya..mesti singgah di sini

Papantanda dari bunga sebagai ucapan tahniah..banyak di Medan ni

Salah satu restoran yang bersih di Medan..Restoran Famili

Tuesday, October 9, 2012

Dari Parapat ke Brastagi

Rasa sedih nak meninggalkan Danau Toba tapi apa kan daya, perjalanan harus diteruskan.  Selepas makan tengahari, Kadri terus memandu menuju Brastagi.  Perjalanan melingkari Danau Toba kerana sepanjang 2 jam perjalanan, kita akan dapati Danau Toba masih berada di kiri kita.  Bayangkan betapa besarnya Danau Toba ini.  Jalan ke Brastagi ni kurang elok dan banyak lubang-lubang besar. 

Sepanjang jalan saya dapati rumah orang Batak ni agak kecil dan biasa saja tetapi yang anehnya, di depan kebanyakan rumah terdapat seperti tugu yang diperbuat daripada batu.  "Tugu" ini dibina lebih cantik daripada rumah tersebut dan Kadri memaklumkan bahawa "tugu" tu adalah kubur orang Batak.  Rupanya orang Batak mengebumi saudara mereka yang telah mati di halaman rumah masing-masing dan mereka lebih mementingkan kubur daripada rumah.  Sebab itu, kubur mereka lebih cantik daripada rumah sendiri dengan hiasan dan diperbuat daripada batu marmar. 

Singgah makan goreng pisang & teh di sini
Kami singgah di Simarjarunjung yang menyediakan goreng pisang & teh tarik. Sambil menghirup teh tarik dan merasa goreng pisang, kita nikmati kesejukan suasana di sini.   Ramai pelancung yang singgah disini sambil menikmati kedinginan cuaca di sini.  Sungguh nyaman dan tenteram panorama di restoran ni, patutlah ramai yang singgah di sini. 

Kami berjumpa dengan ramai rakyat Malaysia yang sama-sama bercuti di Medan ini. 


Air terjun Si Piso-Piso..umpama lukisan
Setelah hampir jemu dok atas Inova, kami akhirnya sampai ke suatu destinasi yang tak akan dapat dilupakan.  Air terjun SiPiso-Piso antara tempat yang mesti dilawati apabila berkunjung ke Medan ni.  Untuk memasukki kawasan ni, dikenakan bayaran setiap kepala semasa di pintu masuk tapi supir kami; Kadri telah membayar semuanya.  Air terjun SiPiso-Piso yang mencurah air dari dinding gunung.  Agak sukar nak tahu dari mana datangnya air ni pasai di atas bukit hanya ada ladang tanaman tanpa ada sungai.  

Dari mana datangnya air yg banyak ni?
Daripada atas ni kita tak nampak air terjun ni menghempas ke bawah sungai kerana air terjun ni terlalu tinggi.  Daripada bukit ni disediakan tangga Untuk turun ke bawah.  Saya turun dipertengahan jalan sampai ke sebuah kedai kopi.  Dari situ kita boleh lihat air terjun ni dengan lebih jelas & bagi yg kuat, bolehlah turun sampai ke dasar untuk melihat sungai. 
Sungguh indah ciptaanNya sehingga kita terpegun dengan keindahannya.  Air mencurah-curah tanpa henti dari dinding bukit menghempas nun jauh ke bawah.  Keindahan di sini umpama suatu lukisan alam semulajadi.  Inilah tempat yang kedua terbaik yang saya lawati di Medan ni selepas Danau Toba. 

Ada kedai menjual cenderahati di SiPiso-Piso ni
Apabila berada di sini rasa macam tak nak balik kerana kecantikannya dan suasana segar & nyaman.  Disini juga terdapat deretan kedai menjual makanan dan cenderahati.  Setelah hampir sejam setengah berada di sini, kami pun meneruskan perjalanan kami ke Brastagi. 

Sepanjang perjalanan kita akan dapat melihat masyarakat Batak menjalankan aktiviti harian & kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian.  Udara semakin dingin tanda kami hampir menghampiri Brastagi. 

Hotel Green Garden Brastagi
Setelah hampir senja, kami tiba di sebuah pasar di Brastagi & kami dihampiri oleh beberapa orang yang menawar untuk membawa menunggang kuda.  Oleh kerana anak-anak pun tak berapa nak naik, kami hanya ke pasar untuk makan jagung.  Jagung besar dan sedap sekali.  Kemudain ke pasar untuk membeli pelbagai limau dan buah-buahan.  Apabila hampir malam, kami pun check-in hotel Green Garden.  Bilik hotel ni agak kecil daripada hotel di Danau Toba tapi kira ok jugaklah.  Ramai orang yang datang melalui rombongan turut bermalam di sini.  Di Brastagi ni cuacanya amat dingin dan lebih dingin daripada Cameron ataupun Genting Highland di negara kita. 

Berhenti makan janggung bakar sambil nikmati keindahan
Tiada banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini hanya menikmati suasana dingin. Keesokan paginya, anak saya yang kemaruk nak mandi pool, terjun ke dalam pool tapi tak sampai 10 minit, semua keluar kerana terlalu sejuk.  Dalam pukul 10 pagi, kami pun meninggalakan Bastagi menuju ke Medan. 

Dipertengahan jalan, singgah makan janggung bakar di atas bukit tapi janggung di pasar Barstagi lebih sedap.  Perjalanan ke Medan banyak menuruni bukit & sepanjang jalan banyak dijual kelawar.  Kami akan ronda Medan sekejap sebelum berangkat pulang ke Malaysia keesokan harinya.  Saya akan sambung dalam entri berikutnya, jalan-jalan di Medan & layanlah gambar-gambar di bawah semasa di Brastagi.


Bilik Hotel Green Garden

Bilik kami di Hotel Green Garden

Pandangan yang dapat dinikmati semasa dr. Brastagi ke Medan

Danau Toba masih kelihatan daripada SiPiso-Piso

Air Terjun SiPiso-Piso