Friday, October 19, 2012

Lawatan Singkat ke Langkawi


Fave Hotel..baru dibuka
Saya kerap ke Langkawi, boleh dikatakan setiap tahun tapi selalunya atas dasar kerja.  Tapi jarang dapat berjalan-jalan meninjau keindahan Langkawi kerana kesuntukan masa.  Langkawi ni duty free, selain terkenal dengan  sejarah Mahsuri tapi hanya beberapa barang saja yang murah dibanding di tempat kita. 
Barangan seperti pinggan mangkuk, coklat, rokok, minuman keras dan kereta saja yang ketara perbezaan harga.  Kalau pinggan mangkuk yang di tempat kita hanya mampu tengok saja tapi di sini kita boleh beli dengan harga agak murah.  Anda boleh ke Ismail & Sons atau Idamansuri sekiranya ingin membeli pinggan mangkuk tersebut.

                                 Bilik Fave Hotel ni agak kecil..
Kali ini saya menginap di Fave Hotel yang terletak di Pantai Cenang bersebelahan Asenia Resort.  Hotel ni baru saja dibuka tapi tidak mengadap lautan dan keadaan dalaman masih cantik dan kemas.  Cuma bilik hotel ni agak kecil dan sempit.  Bilik saya mengadap bukit, cantik juga terutamanya waktu pagi. 

Kalau menginap di sini, kena ada transport sendiri kerana ianya jauh dari pusat bandar Kuah.  Kalau nak turun town, kena naik teksi atau sewa motor.  Dengan harga hampir RM200 semalam, anda buat pilihan sendiri samada berbaloi atau tidak. 

Kereta Kuda pun Tun terima sebagai hadiah..
Selepas semuanya settle, destinasi pertama adalah ke Galeri Perdana yang menyimpan segala macam hadiah yang diterima oleh Tun Mahathir sepanjang memerintah.  Ini bukan kali pertama saya menjejak kaki ke sini, mungkin sudah kali ke 4 atau 5 tapi masih tak jemu melihat barangan yang begitu banyak dipamer.  Dulu masa saya masuk, kamera tidak dibenarkan tapi sekarang kamera dibenarkan masuk.  Kalau nak belek setiap barangan disini, saya rasa 2 jam pun belum cukup!  Bermacam hadiah yang diterima Tun daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya macam kereta, motor dan kereta kuda.  Hadiah dari hampir setiap negara dalam dunia ini yang diterima oleh Tun.


Makam Mahsuri
Destinasi berikutnya adalah Makam Mahsuri yg begitu lama saya tidak lawati. Ternyata kemudahan di sini lebih baik dengan kemudahan dan landskap yang cantik dan terjaga.  Mungkin tidak perlu diceritakan lagi tentang lagenda Mahsuri ni tapi bagi yang kurang arif anda akan diberi penerangan dengan secukupnya.  Terdapat rumah contoh seperti rumah Mahsuri dan perigi yang kononnya digunakan oleh Mahsuri.




Restoran Siti Fatimah..di hadapan Hotel Tok Senik
Selepas meneroka Makam Mahsuri, perut terasa lapar & kami singgah di Restoran Siti Fatimah yang terletak di hadapan Hotel Tok Senik.  Restoran ni antara yang terkenal dan menjadi pilihan bas persiaran  yang membawa pelancong.

Pilihan juadahnya begitu banyak hingga susah nak buat pilihan.  Sedap jugak masakan di sini & kalau kita ada rezeki, restoran akan menyediakan makanan orang kampung Langkawi yang tidak terdapat di tempat kita.  
Telaga Air Hangat..dah tak panas sangat
Dah kenyang, kami beredar ke Telaga Air Hangat.  Dulu masuk sini kena bayar dan kita akan dihidangkan dengan tarian kebudayaan tapi sekarang tiada lagi (mungkin off-peak).

Air hangat di sini rasanya dah tak hangat seperti dulu, dah agak suam.  Kalau dibandingkan dengan air hangat di Tambun Ipoh, saya rasa di sana dua kali lebih hangat.
Pasir Hitam..pasir di pantainya memang hitam
Kami singgah ke Pasir Hitam dimana pasir di pantai ini memang hitam.  Juga terdapat kedai-kedai menjual cenderahati dan t-shirt Langkawi.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan ole-ole boleh beli di sini kerana harganya agak murah dan boleh tawar-menawar lagi.  Pelbagai key-chains di jual di sini & terdapat juga key-chain dimana dimasukkan pasir hitam ke dalam botol kecil dan dibuat key-chains.


Terdapat muzium di Pusat Kraftangan..Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan
Tidak jauh dari Pasir Hitam terdapat Pusat Kraftangan Langkawi dimana terdapat pelbagai barangan yang dipamerkan untuk tontonan dan jualan.  Ramai tidak tahu yang disebelah kanan & kiri pusat ni terdapat 2 muzium.  Muzium Warisan yang mempamerkan barangan lama dan Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan yang mempamerkan pelbagai jenis perkahwinan di Malaysia ni.
Muzium Warisan

Jalur Gemilang yg digunakan oleh Dato Azhar mengelilingi dunia

Destinasi seterusnya adalah Telaga Harbour, Pantai Kok yang merupakan antara kawasan baru yang menjadi tarikan bila ke Langkawi.  Kalau sesiapa ada menonton filem My Spy lakonan AC Mizal, ianya di buat di sini. 

Di sini terdapat banyak kapal layar yang berharga ratusan malah jutaan ringgit yang menjadikan Telaga Harbour,  sebagai tempat untuk berlabuh.  Yang paling istimewa adalah kapal layar yang digunakan oleh Dato Azhar untuk mengelilingi dunia diletakkan di sini.  Bayangkanlah kapal yang begitu kecil dijadikan tempat berteduh hampir setahun meredah lautan ganas. 

The Loaf..dikatakan kepunyaan Tun Mahathir
Saya dipahamkan Tun Mahathir juga mempunyai kapal layar bernama "Apa Nama" yang berlabuh di sini tapi tak nampak pun.

Setelah penat meninjau kawasan Telaga Harbour, singgah di sebuah restoran yang menyajikan roti & muffin; The Loaf.  Khabarnya The Loaf ni kepunyaan Tun Mahathir & opis Tun terletak di tingkat satu restoran ni.
Ramai pelancong yang singgah disini termasuk pelancong asing.  Harga makanan di sini kira ok jugak kalau nak ikut status restoran ni. 


Sebenarnya di Langkawi ni terdapat banyak tempat menarik yang perlu di lawati selain menjadi tarikan pusat membeli-belah barangan duty free.  Bagi yang belum pernah sampai ke sini, tak rugi rasanya kalau kita spend beberapa hari meneroka pulau indah ini.  Berbanding Penang, pantai di sini lebih cantik dan asli.  Layanlah gambar-gambar di bawah semasa di Pulau Lagenda ini.


Suasana ni kaki Gunung Mat Chincang.. Cable Car naik di sini

Antara kereta yang terdapat di Galeri Perdana..koleksi Tun

Org Langkawi bagitau yg 2 batu ni yg terletak sebelah kubur merupakan
kubur sebenar Mahsuri...untuk elak pemujaan
Refleksologi kaki di Telaga Air Hangat

Pakaian pengantin dipamerkan di Muzium Adat & Perkahwinan

Pemandangan di Telaga Harbour

Suasana dalam di The Loaf..sedap!

Singgah pekena laksa & ayaq nyok di tepi pantai airport, Pdg Mat Sirat

No comments:

Post a Comment